Skip to main content

Pihak Berkepentingan

Murid

Murid akan mendapat manfaat yang signifikan dalam perkembangan pendidikan mereka tanpa mengira latar belakang. Murid akan belajar dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, dan akan berasa terangkum dan terdidik dengan pengalaman pembelajaran di sekolah. Apabila menamatkan persekolahan, murid akan mempunyai pengetahuan dan kemahiran bertaraf dunia, nilai moral yang tinggi, dan berupaya bersaing dengan rakan sebaya dari negara lain.

Guru

Guru akan meningkatkan keupayaan bertaraf dunia yang diperlukan bagi membantu mencapai keberhasilan murid yang dihasratkan, dan akan memperoleh lebih keseronokan dan kepuasan dalam menjalankan tugas mereka. Dengan pakej kerjaya guru yang baharu, mereka akan menikmati perkembangan profesional yang lebih memuaskan, laluan kerjaya yang lebih baik, dan proses penilaian yang telus dan adil serta berkait terus dengan keupayaan dan prestasi yang relevan.

Pemimpin Sekolah

Pemimpin sekolah akan menjadi pemimpin instruksional yang cemerlang, dan bertindak sebagai ejen perubahan. Mereka akan menikmati sokongan yang lebih padu dan perkhidmatan yang lebih baik daripada pegawai pendidikan persekutuan, negeri dan daerah. Mereka akan mendapat akses yang lebih besarterhadap latihan kepimpinan bertaraf antarabangsa, serta amalan terbaik daripada rakan sejawatan mereka di Malaysia.

Pegawai Kementerian

Pegawai Kementerian akan bertindak sebagai pemimpin perubahan, dengan kemahiran dan atribut yang diperlukan untuk menyokong sekolah. Mereka akan menjadi pengurus, pembimbing dan penyokong kecemerlangan sekolah yang lebih baik. Mereka akan mendapat manfaat daripada meritokrasi yang lebih besar, lebih kuasa dengan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi, dan tidak akan terbatas dengan hierarki dan kawalan.

Ibu Bapa

Ibu bapa akan menyaksikan penambahbaikan yang ketara dan lestari dalam pengalaman pendidikan anak-anak mereka. Prestasi dan keutamaan sekolah akan lebih telus, dan ibu bapa akan sentiasa dimaklumkan tentang keadaan anak mereka di sekolah dari segi pencapaian dan juga perkembangan. Ibu bapa akan berperanan seperti rakan kongsi sebenar dengan sekolah dalam membantu pembelajaran anak mereka.

Pihak Komuniti & Swasta

Sektor komuniti dan swasta perlu memberi sokongan dan galakan yang tidak berbelah bagi kepada guru dan pemimpin sekolah, mengakui bahawa transformasi pendidikan memerlukan masa dan usaha. Mereka perlu terus memberikan maklum balas, dan menjadi kolaborator aktif dengan sekolah dan Kementerian mengenai peningkatan sekolah.