Pengenalan Inisiatif
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyediakan pendidikan bagi murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) menerusi tiga pilihan persekolahan, iaitu sekolah pendidikan khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI). SPK ialah sekolah yang dibina khusus bagi MBPK yang terdiri daripada sekolah kebangsaan pendidikan khas (SKPK), sekolah menengah kebangsaan pendidikan khas (SMKPK) dan sekolah menengah pendidikan khas vokasional (SMPKV). PPKI ialah program pendidikan bagi MBPK yang hanya dihadiri oleh MBPK di kelas khas di sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan. Manakala, PPI ialah program pendidikan bagi MBPK yang dihadiri bersama-sama dengan murid arus perdana dalam kelas yang sama di sekolah kerajaan atau sekolah bantuan kerajaan.
Terdapat enam kategori MBPK seperti yang termaktub dalam Peraturan-Peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 2013, iaitu murid yang mempunyai ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan fizikal, ketidakupayaan pertuturan, masalah pembelajaran dan ketidakupayaan pelbagai.
Matlamat khusus inisiatif adalah untuk meningkatkan potensi MBPK dengan membuka akses yang lebih luas menerusi pelibatan MBPK dengan rakan-rakan murid di arus perdana. Selain itu, inisiatif ini bermatlamat untuk meningkatkan keupayaan dan potensi MBPK serta sumbangan mereka dalam masyarakat dapat ditingkatkan melalui pendidikan lanjutan dan peluang pekerjaan.
Fokus 2025
Visi :
Murid Berkeperluan Pendidikan Khas mencapai potensi diri secara optimum untuk berdikari.
Objektif :
- Meningkatkan peratusan kanak-kanak berkeperluan pendidikan khas mendaftar di sekolah KPM dan bantuan sekolah KPM.
- Meningkatkan pengetahuan dan pelaksanaan PdP guru perdana dan guru pendidikan khas termasuk peperiksaan awam.
- Meningkatkan perkhidmatan sokongan (saringan,penilaian,intervensi dan konsultasi) pendidikan khas.
- Melengkapkan peralatan sokongan pendidikan khas mengikut ketidakupayaan pendidikan.
- Memastikan pengisian data kemudahan mesra OKU dalam sistem EMIS adalah tepat.
- Memastikan kelas PPKI dalam keadaan yang kondusif.
- Memantapkan Program ke Transisi ke Kerjaya.
- Memantapkan sokongan luar melalui kerjasama strategik swasta and agensi awam.
- Menghasilkan pelan komunkasi yang berkesan.